
Memang
malu bercampur sakit bila mata diserang ketumbit. Sedih pun ada bila
orang sekeliling asyik mengusik dan kata yang bukan-bukan.
Tapi
sebenarnya, ketumbit adalah sejenis keradangan pada kelopak mata yang
disebabkan oleh jangkitan kuman dan bukanlah sebab mengintai atau
mengendap ya. Menurut sebuah artikel, Dr Muhaya menjelaskan bahawa
biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan
masalah.
APAKAH KETUMBIT?
Menurut laman web kesihatan WebMD, terdapat dua jenis ketumbit yang biasa terjadi iaitu:
Stye:
Jangkitan kuman yang berpunca pada akar bulu mata (folikel). Ketumbit
jenis ini berlaku di pinggir kelopak mata. Jika ia terdapat di dalam
kelopak mata, ia digelar hordeolum dan ia berpunca daripada jangkitan
kuman pada kelenjar minyak dalam kelopak mata. Ketumbit jenis ini adalah
agak menyakitkan, tetapi ia cepat sembuh dalam masa seminggu.
Chalazion:
Timbulnya sejenis benjolan pada kelopak mata. Biasanya ia lebih besar
berbanding ‘stye’ tetapi ia tidak menyakitkan. Ia adalah keradangan yang
disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar. Dalam sesetengah kes, ‘stye’
boleh menjadi ‘chalazion’. Ketumbit jenis ini boleh berlanjutan hingga
sebulan atau lebih.
Apabila seseorang mengalami
ketumbit, ia akan turut diiringi dengan gejala lain seperti mata
berair, gatal, sensitif, dan bengkak atau kemerahan pada kelopak mata.
Namun anda tak perlu risau kerana ia tidak merbahaya dan tidak mudah
berjangkit.
Lazimnya, ketumbit boleh pulih dengan sendirinya. Ada beberapa cara menghilangkan ketumbit yang boleh anda lakukan di rumah.
Berikut adalah cara menghilangkan ketumbit yang boleh dicuba:
1. BERSIHKAN
Langkah
pertama yang boleh anda lakukan apabila terkena ketumbit adalah dengan
membersihkan bahagian kelopak mata dengan kerap menggunakan air bersih.
Untuk
penjagaan kebersihan yang lebih rapi, anda boleh menggunakan putik
kapas dan ‘mild shampoo’ seperti syampu bayi yang tidak memedihkan untuk
membersihkan kelopak mata anda dan bahagian bulu mata sekitarnya.
2. TUAMAN PANAS
Cara
paling selamat dan berkesan untuk melegakan ketumbit adalah dengan
tuaman air yang sederhana panas. Cara ini juga amat sesuai untuk
kanak-kanak dan juga bayi.
Rendamkan kain dalam
air suam dan kompreskan pada kelopak mata yang terkena ketumbit tadi
untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata. Ulangi
langkah ini sebanyak tiga kali sehari selama seminggu. Pastikan kain
yang anda gunakan bersih ya.
3. SUDU
Selain menggunakan tuaman air panas tadi, anda juga boleh menggunakan sudu untuk dituam pada mata.
Caranya,
rendamkan sudu tadi dalam air suam dan rasa kepanasannya agar tidak
terlalu panas. Agak-agak selesa, bolehlah dituamkan pada bahagian mata
yang terkena ketumbit tadi. Tuamkan sekitar 3 minit setiap kali.
4. UNCANG TEH HIJAU
Selain
menuam dengan air panas, anda boleh cuba menuam mata dengan uncang teh
hijau. Selain melegakan rasa tidak selesa, teh hijau mengandungi asid
tanik yang membantu melindungi daripada jangkitan.
Caranya,
rendamkan uncang teh hijau ke dalam air panas. Selepas 5 minit, angkat
dan keluarkan lebihan air pada uncang teh. Jika ia terlalu panas, tunggu
sebentar sebelum meletakkannya pada mata. Bila suhunya sesuai, biarkan
pada mata selama 5 minit. Lakukan beberapa kali sehari.
5. DAUN SIRIH
Ambil
beberapa helai daun sirih dan bersihkan. Kemudian, panaskan sedikit di
atas api atau badan cerek dan tekapkan pada mata ketumbit.
Satu
lagi cara, rebuskan daun sirih hingga mendidih. Angkat daun sirih
tersebut dan perah untuk mendapatkan airnya. Guna air perahan ini untuk
membersihkan mata yang ketumbit.
6. GARAM
Satu lagi petua yang dikatakan dapat menyurutkan ketumbit dengan cepat adalah dengan menambahkan garam pada tuaman.
Mudah
saja, bubuhkan sedikit garam pada air panas / suam yang akan digunakan
untuk tuaman. Selepas ia melarut, celupkan tuala bersih dan perah
airnya. Boleh juga gunakan kapas. Tuamkan 2-3 minit pada ketumbit.
Lakukan 3 atau 4 kali sehari.
7. CUKA EPAL
Selain
garam, anda boleh juga cuba menggunakan cuka epal (apple cider vinegar)
dengan cara yang sama. Namun, elak menggunakan cuka kepada kanak-kanak
kerana ia agak ‘kuat’. Pastikan cuka epal ini dilarutkan terlebih dahulu
supaya asidnya tidak terlalu kuat.
Selain itu,
bagi orang dewasa, anda boleh meminum sesudu cuka epal yang dilarutkan
dalam air suam untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan.
8. BAWANG PUTIH
Antara
cara menghilangkan ketumbit paling popular di kalangan orang lama
adalah menggunakan bawang putih kerana ia dipercayai mengandungi ciri
anti radang. Namun, cara ini akan memedihkan sedikit. Maka, tidak sesuai
kalau dilakukan pada kanak-kanak.
Caranya,
ambil seulas bawang putih dan guris sedikit bahagian hujungnya dengan
pisau agar keluar jusnya. Sapukan pada kelopak mata yang berketumbit
sebanyak 3 kali sehari. Ia dikatakan berkesan sekiranya bengkak ketumbit
baru nak ‘naik’ dan belum membesar. Apa pun, berhati-hatilah dan
pastikan kebersihan tetap diutamakan.
DAPATKAN RAWATAN DOKTOR JIKA IA BERLARUTAN
Jika
ia masih berlarutan, pastikan anda mendapatkan ubat krim antibiotik di
farmasi atau klinik terutamanya jika anak kecil menunjukkan
ketidakselesaan.
Yang penting, jangan cuba
pecahkan ketumbit ini sendiri kerana ia boleh menyebabkan jangkitan
merebak. Sementara itu, elakkan memakai sebarang ‘make-up’ pada bahagian
mata atau ‘contact lense’ kerana ia boleh menyebabkan jangkitan
bertambah teruk.