Memang malu bercampur sakit bila mata
diserang ketumbit. Sedih pun ada bila orang sekeliling asyik mengusik
dan kata yang bukan-bukan.
Tapi sebenarnya, ketumbit adalah sejenis keradangan pada kelopak mata
yang disebabkan oleh jangkitan kuman dan bukanlah sebab mengintai atau
mengendap ya. Menurut sebuah artikel, Dr Muhaya menjelaskan bahawa biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan masalah.
APAKAH KETUMBIT?
Menurut laman web kesihatan WebMD, terdapat dua jenis ketumbit yang biasa terjadi iaitu:
Stye: Jangkitan kuman yang berpunca pada akar bulu mata (folikel).
Ketumbit jenis ini berlaku di pinggir kelopak mata. Jika ia terdapat di
dalam kelopak mata, ia digelar hordeolum dan ia berpunca daripada
jangkitan kuman pada kelenjar minyak dalam kelopak mata. Ketumbit jenis
ini adalah agak menyakitkan, tetapi ia cepat sembuh dalam masa seminggu.
Chalazion: Timbulnya sejenis benjolan pada kelopak mata. Biasanya ia
lebih besar berbanding ‘stye’ tetapi ia tidak menyakitkan. Ia adalah
keradangan yang disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar. Dalam
sesetengah kes, ‘stye’ boleh menjadi ‘chalazion’. Ketumbit jenis ini
boleh berlanjutan hingga sebulan atau lebih.
Apabila seseorang mengalami ketumbit, ia akan turut diiringi dengan
gejala lain seperti mata berair, gatal, sensitif, dan bengkak atau
kemerahan pada kelopak mata. Namun anda tak perlu risau kerana ia tidak
merbahaya dan tidak mudah berjangkit.
Lazimnya, ketumbit boleh pulih dengan sendirinya. Ada beberapa cara menghilangkan ketumbit yang boleh anda lakukan di rumah.
Stye (kiri) dan Chalazion (kanan).
Berikut adalah cara menghilangkan ketumbit yang boleh dicuba:
1. BERSIHKAN
Langkah pertama yang boleh anda lakukan apabila terkena ketumbit adalah
dengan membersihkan bahagian kelopak mata dengan kerap menggunakan air
bersih.
Untuk penjagaan kebersihan yang lebih rapi, anda boleh menggunakan putik
kapas dan ‘mild shampoo’ seperti syampu bayi yang tidak memedihkan
untuk membersihkan kelopak mata anda dan bahagian bulu mata sekitarnya.
2. TUAMAN PANAS
Cara paling selamat dan berkesan untuk melegakan ketumbit adalah dengan
tuaman air yang sederhana panas. Cara ini juga amat sesuai untuk
kanak-kanak dan juga bayi.
Rendamkan kain dalam air suam dan kompreskan pada kelopak mata yang
terkena ketumbit tadi untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di
kelopak mata. Ulangi langkah ini sebanyak tiga kali sehari selama
seminggu. Pastikan kain yang anda gunakan bersih ya.
3. SUDU
Selain menggunakan tuaman air panas tadi, anda juga boleh menggunakan sudu untuk dituam pada mata.
Caranya, rendamkan sudu tadi dalam air suam dan rasa kepanasannya agar
tidak terlalu panas. Agak-agak selesa, bolehlah dituamkan pada bahagian
mata yang terkena ketumbit tadi. Tuamkan sekitar 3 minit setiap kali.
4. UNCANG TEH HIJAU
Selain menuam dengan air panas, anda boleh cuba menuam mata dengan
uncang teh hijau. Selain melegakan rasa tidak selesa, teh hijau
mengandungi asid tanik yang membantu melindungi daripada jangkitan.
Caranya, rendamkan uncang teh hijau ke dalam air panas. Selepas 5 minit,
angkat dan keluarkan lebihan air pada uncang teh. Jika ia terlalu
panas, tunggu sebentar sebelum meletakkannya pada mata. Bila suhunya
sesuai, biarkan pada mata selama 5 minit. Lakukan beberapa kali sehari.
5. DAUN SIRIH
Ambil beberapa helai daun sirih dan bersihkan. Kemudian, panaskan
sedikit di atas api atau badan cerek dan tekapkan pada mata ketumbit.
Satu lagi cara, rebuskan daun sirih hingga mendidih. Angkat daun sirih
tersebut dan perah untuk mendapatkan airnya. Guna air perahan ini untuk
membersihkan mata yang ketumbit.
6. GARAM
Satu lagi petua yang dikatakan dapat menyurutkan ketumbit dengan cepat adalah dengan menambahkan garam pada tuaman.
Mudah saja, bubuhkan sedikit garam pada air panas / suam yang akan
digunakan untuk tuaman. Selepas ia melarut, celupkan tuala bersih dan
perah airnya. Boleh juga gunakan kapas. Tuamkan 2-3 minit pada ketumbit.
Lakukan 3 atau 4 kali sehari.
7. CUKA EPAL
Selain garam, anda boleh juga cuba menggunakan cuka epal (apple cider
vinegar) dengan cara yang sama. Namun, elak menggunakan cuka kepada
kanak-kanak kerana ia agak ‘kuat’. Pastikan cuka epal ini dilarutkan
terlebih dahulu supaya asidnya tidak terlalu kuat.
Selain itu, bagi orang dewasa, anda boleh meminum sesudu cuka epal yang
dilarutkan dalam air suam untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan.
8. BAWANG PUTIH
Antara cara menghilangkan ketumbit paling popular di kalangan orang lama
adalah menggunakan bawang putih kerana ia dipercayai mengandungi ciri
anti radang. Namun, cara ini akan memedihkan sedikit. Maka, tidak sesuai
kalau dilakukan pada kanak-kanak.
Caranya, ambil seulas bawang putih dan guris sedikit bahagian hujungnya
dengan pisau agar keluar jusnya. Sapukan pada kelopak mata yang
berketumbit sebanyak 3 kali sehari. Ia dikatakan berkesan sekiranya
bengkak ketumbit baru nak ‘naik’ dan belum membesar. Apa pun,
berhati-hatilah dan pastikan kebersihan tetap diutamakan.
DAPATKAN RAWATAN DOKTOR JIKA IA BERLARUTAN
Jika ia masih berlarutan, pastikan anda mendapatkan ubat krim antibiotik
di farmasi atau klinik terutamanya jika anak kecil menunjukkan
ketidakselesaan.
Yang penting, jangan cuba pecahkan ketumbit ini sendiri kerana ia boleh
menyebabkan jangkitan merebak. Sementara itu, elakkan memakai sebarang
‘make-up’ pada bahagian mata atau ‘contact lense’ kerana ia boleh
menyebabkan jangkitan bertambah teruk.
Sumber: Siraplimau.com