KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.
Perdana Menteri berkata, penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.
“Sangat penting untuk kita memberi masa supaya penggunaan bahasa Inggeris digunakan semula, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik.
“Geografi dan Sejarah boleh diperoleh dalam mana-mana bahasa tetapi Matematik dan Sains bukan bahasa asal kita. Ia berasal dari luar negara,” katanya dalam mesyuarat khas bersama pentadbiran Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam.
Video ringkas pertemuan itu Dr Mahathir yang memangku jawatan Menteri Pendidikan itu dimuat naik dalam Twitter @chedetofficial hari ini.
Dasar itu menimbulkan bantahan dan dimansuhkan pada 2012 sebelum Kementerian Pendidikan memperkenal dasar Dual Language Program (DLP) pada 2016 yang memberi pilihan kepada sekolah menentukan sendiri jika ingin mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Kelas DLP kini ada di hampir 1,300 sekolah rendah dan menengah membabitkan kira-kira 23,000 pelajar.